About Me

My Photo
A KADIR JASIN
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).
View my complete profile

Tuesday, July 14, 2009

Pas Menang Tipis Di Manek Urai

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PAS berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan dengan kelebihan hanya 65 undi berbanding 1,352 dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50 memperoleh 5,348 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Tuan Aziz Tuan Mat, 39 yang mendapat 5,283 undi.

Manek Urai mempunyai 12,293 pemilih, 99.2 peratus daripadanya Melayu. Bilangan pemilih yang keluar mengundi adalah tinggi, 87.3 peratus.

Pada PRU ke-12 lalu, calon Pas, Ismail Yaacob memperoleh 5,746 undi manakala calon BN Zulkepli Omar memperoleh 4,394 undi memberikan calon Pas majoriti 1,352 undi. Sejumlah 84.23 peratus keluar mengundi.

Keputusan ini mempunyai implikasi besar bagi kedua-dua parti itu, khasnya Umno yang berjaya memikat lebih ramai pengundi berpindah ke pihaknya.

Sunday, July 12, 2009

100-Day "Gift" From The PM

A Kadir Jasin

[ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

PRIME Minister Mohd Najib Abdul Razak, who celebrated his 100th day in office yesterday, announced a slew of measures as a gift to the people.

He also pledged to take drastic measures to fight crime and corruption.

Among other things, according to media reports, he announced a 20-percent discount for frequent pre-paid toll users and up to 70 percent reduction for driving license fees for motorcycle riders.

Other measures include:

1. Priority to tenants in the Federal Territory to buy the 44,000-housing units on offer;

2. Small traders and vendors in the Federal Territory will be given a 50-percent discount for their fee renewals.

He said, an appeal for the licence fee to be reduced was made at a function he attended with the Federation of Malay Hawkers and Petty Traders Associations of Malaysia in Tanjung Karang, Selangor, last month.;

3. RM150 million will be allocated to Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) and RM15 million to young Indian entrepreneurs;

4. More taxi permits to be issued. As of now there are 70,000 individual taxi permits and 3,000 more permits will be approved in the next three months;

5. Drastic measures to be taken to fight crime and corruption, the details of which will be revealed at the end of this month;

6. Overcoming the birth certificates issue in Sabah and Sarawak. Since 2005, Sabah has 36,000 applications and 92 percent of which have been approved. Sarawak has 19,000 applications and 80 percent of which have also been approved;

7. As of last month, 46 percent out of 34,000 delayed citizenship applications had been resolved. The rest will be resolved by year’s end;

8. More roads will be built in Sabah and Sarawak during the 10th Malaysian Plan;

9. Water and electricity supplies in Sabah and Sarawak will also be improved, details of which will be announced at the end of this month;

10. Some 20,000 family members of urban hardcore poor will be given 10,000 houses under Skim Amanah Saham Wawasan trust fund; and

11. A new RM10-billion “1Malaysia Trust Fund” will be launched and is open to Malaysians aged 18 years and above.

These and the hints that more good things are to come were made at a gathering of about 3,000 – including school children -- at the Kuala Lumpur Convention Centre in Kuala Lumpur.

The announcements were in addition to the larger measures like opening up of the banking sector, the abandonment of the Bumiputera shareholding requirement for new IPOs and for 27 sub-sectors of the services industry, the abandonment of the teaching of science and mathematics in schools in English and the proposal to build a third bridge linking Malaysia and Singapore, which he had announced earlier.

Friday, July 10, 2009

Walhasil Balik Asal Itu Fasal Tak Hasil

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEMBAHAS Mohdainul yang mengulas dalam tampalan saya yang lalu, antara lain, berkata:

“Belum lagi reda dengan kita dikejutkan oleh pengumuman PM mengenai dasar liberalisasi ekonomi dan langkah-langkah affirmatifnya, sekarang TPM pula mengumumkan pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.

"Baru saja PM mengumumkan yang kita harus bersedia di dalam menghadapi era globalisasi dan sebagaimana yang kita maklum, globalisasi ini didukung oleh negara-negara barat seperti AS dan Kesatuan Eropah. Bahasa rasmi pertuturan mereka adalah Bahasa Inggeris dan Perancis. Pusat pembelajaran sains dan teknikal serta bahan-bahan ilmiah kebanyakannya di tulis didalam Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.”

Kata orang putih, “spot-on”. Terima kasih kepada pembahas Mohdainul dan semua yang membangkitkan isu itu walaupun saya tidak membincangkannya.

I still do not propose to comment on the decision.

Rasa-rasanya saya tidak mempunyai kemampuan dan kecekalan minda untuk memahami dan menghadapinya.

Ada tidak pun, saya hanya hendak bercakap sedikit mengenai betapa nenek moyang kita sudah memberikan kita pelbagai ilmu, petunjuk dan peringatan. Mungkin elok kita melawati semula kebijaksanaan mereka.

Mereka berkata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tetapi, kata mereka, kalau malu bertanya (atau dalam konteks semasa tak tahu guna Google Maps) sesat jalan.

Bunga yang cantik warnanya dan wangi baunya, akan hancur rosak jika diberikan kepada kera. Kera yang diberikan bunga itu tetap kelaparan. Kera tidak tahu apa gunanya bunga.

Tetapi jika bunga yang wangi dan cantik itu ditemui oleh lebah ia akan mengumpul madunya dan diterbangkannya balik ke sarang. Madu yang manis banyak khasiatnya.

Beri labu kepada tikus, labu yang baik menjadi rosak labu yang rosak jahanam terus.

Berikan labu tempat mengisi air kepada si Luncai dia akan terjun ke sungai bersama-samanya. Biarkan, biarkan.

Tidak mengapalah jika labu itu milik si Luncai, tetapi apa halnya jika labu itu milik kita semua dan yang terjun ke sungai itu bukan si Luncai tetapi para Yang Berhormat kita?

Kerbau suka tanah berlumpur. Dijadikannya kubang. Seekor kerbau membawa lumpur habis satu kandang terpalit.

Tetapi ada rahsia di sebalik kegemaran kerbau berkubang. Lumpur menyejukkan badan, membunuh kutu dan pijat serta mengelak lalat dan langau.

Beri ketulan tanah dan kayu mati kepada anai-anai dan ia akan membina busut yang kukuh dan kalis air. Kata nenek moyang kita, berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit.

Buatlah dasar dan rancangan sehebat mana pun tetapi kalau ibarat bunga ia diberikan kepada kera ia tidak akan berjaya. Akhirnya anak cucu kita menjadi kera sumbang – tak laku dan diketepikan.

Teringat saya kepada lirik lagu Allahyarham seniman agung P Ramlee yang, antara lain, berbunyi:

Walhasil balik asal
Walasal balik hasil
Walhasil cari fasal
Itu fasal tak hasil.

Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, melalui blog raksasanya membuat pungutan suara dengan bertanya soalan berikut:

“DO YOU SUPPORT THE GOVERNMENT'S DECISION TO TEACH MATHS & SCIENCE IN BAHASA MALAYSIA?”

(Adakah anda penyokong keputusan Kerajaan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia?)

Sehingga beberapa waktu sebelum saya membuat tampalan ini, 23 peratus (4,117 orang) berkata “yes” dan 77 peratus (13,603) berkata “no”.

Saya akhiri dengan mengucapkan syabas kepada para “pejuang bahasa”. Tahniah kepada para cauvinis semua kaum. Bravo kepada si penakut dan yahoo kepada para hipokrit.

Monday, July 06, 2009

Wajarkah Korbankan DEB Kerana Undi Minoriti?

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TERIMA kasih kepada pembahas dan pembaca yang menghayati puisi mudah saya dalam posting lalu. Saya tidak pandai bermadah dan berbahasa tinggi dan indah. Itulah yang mampu saya luahkan untuk melepaskan sebak di dada dan berkongsi rasa.

Terima kasih kepada yang turut berpuisi dan berpantun seloka. Khazanah bahasa ini jangan kita lupa. Madah pujangga dan tunjuk ajar pendeta jangan dipersia-senda.

Ekoran daripada reaksi yang membina kepada posting itu, izinkan saya meneruskan perbincangan mengenai Dasar Ekonomi Baru atau saki bakinya yang nampaknya amat tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Mohon maaf jika tampalan kali ini lebih panjang daripada biasa.

Saya hendak mulakan dengan bertanya: Selama 30 tahun Dasar Ekonomi Baru berkuat kuasa, adakah ia menyekat perkembangan ekonomi negara?

Jawabnya tidak. Malah kerana pelaksanaan matlamat-matlamat dan program-program DEBlah, ekonomi Malaysia berkembang pesat.

Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) meningkat daripada RM12 bilion pada tahun 1970 kepada RM120 bilion 1995 dan RM357.9 bilion 2007, menjadikan ekonomi Malaysia ke-29 terbesar di dunia.

Adakah ia menyekat kemajuan kaum-kaum bukan Bumiputera dan membantutkan kemasukan modal asing seperti yang didakwa oleh begitu banyak pihak sehingga membuatkan sesetengah pembesar Umno berasa bersalah dan defensif?

Pun tidak. Kadar kemiskinan dikurangkan dan pendapatan semua kaum meningkat. Tetapi pendapatan kaum-kaum bukan Bumiputera, khasnya Cina meningkat dengan lebih pantas kerana mereka menguasai dunia perdagangan dan profesionalisme.

Jurang Miskin-Kaya Meluas

Malah jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya menjadi luas semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kemunculan kegiatan baru ekonomi seperti perkhidmatan (services) dan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) lebih menguntungkan sesetengah kaum dan golongan pekerja.

Laporan Rancangan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHDP) tahun 2004 mendapati 10 peratus rakyat Malaysia yang paling kaya menguasai 38.4 peratus daripada pendapatan ekonomi berbanding 10 peratus paling miskin menguasai hanya 1.7 peratus.

Kita semua tahu siapa dan kaum mana paling kaya di Malaysia dan siapa pula yang paling miskin di negara kita ini. Malah jurang antara yang kaya dengan yang miskin dalam kaum yang sama turut meningkat.

Bumiputera tidak mencapai matlamat 30 peratus pemilikan kekayaan korporat. Mengikut perangkaan rasmi, pada tahun 2006, pemilikan Bumiputera pada nilai pasaran dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dianggarkan RM88.4 bilion atau 15.1 peratus.

Tetapi bukan Bumiputera yang berupa 34 peratus daripada warganegara memiliki RM251.1 bilion (42.8 peratus) manakala pemodal asing memiliki RM234.7 bilion (40 peratus).

Majoriti aset Bumiputera dipegang oleh institusi amanah dan beberapa kerat ahli perniagaan Melayu yang berjaya.

Lebih Buruk Tanpa DEB

Hatta pada nisbah yang rendah dan berat sebelah ini pun, kita boleh berkata DEB telah berhasil mengurangkan kemiskinan dan ketidakseimbangan kaum.

Misalnya, apabila DEB dilancarkan pada tahun 1971, pemilikan korporat Bumiputera dianggarkan hanya dua peratus.

Jadi apalah salahnya kita meneruskan pelaksanaan sesetengah matlamat dan kaedah DEB yang baik dan berkesan itu?

Mengapakah sesetengah orang Melayu dan parti-parti politik Melayu begitu takut untuk mempertahankan sesuatu yang terbukti baik dan menguntungkan semua kaum?

Kalau ada perkara yang hendak ditentang dan dikritik dalam dasar itu adalah kegagalan mencapai sepenuhnya matlamat membasmi kemiskinan dan 30 peratus pemilikan Bumiputera.

Dalam apa bentuk sekalipun, matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menambah ekuiti Bumiputera wajib diteruskan.

Tetapi dasar-dasar berkaitan pemilikan ekuiti bukan Bumiputera boleh diliberalisasikan kerana mereka bukan sahaja sudah mencapai matlamat itu malah atas dasar meritokrasi sudah boleh bersaing dengan orang asing.

Inilah masanya bagi badan-badan amanah dan tabung-tabung pelaburan rasmi, termasuk Ekuiti Nasional Berhad yang baru ditubuhkan, menambah modal dalam syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan asing yang berdaya maju kerana harga saham di Bursa Saham berada pada paras yang menarik.

DEB Punca Bukan Melayu Tolak BN?

Apakah pengundi bukan Melayu menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lalu kerana DEB?

Kalau begitu, kenapa mereka sokong BN sebelum ini, khasnya pada tahun 2004?

DEB hanyalah alasan! Mereka menolak Umno dan BN kerana imej BN yang tidak baik dan kerana mungkir janji. Banyak janji dan ikrar era Abdullah Ahmad Badawi seperti keterbukaan, kebebasan dan liberalisasi tidak dilaksanakan seperti difahami oleh pengundi.

Selain merakamkan protes, pengundi bukan Melayu tahu bahawa dengan menghukum BN mereka boleh membuat tuntutan baru.

Dilema Umno dan BN adalah memastikan agar tolak-ansur dengan bukan Melayu ini tidak akan menambahkan kemarahan orang Melayu dan memastikan orang bukan Melayu mengundi BN.

Yang dikhuatiri adalah apa yang disebut oleh ungkapan Inggeris iaitu pengundi bukan Melayu mungkin “have the cake and eat it at the same time.” Dalam erti kata yang lain, mereka terima apa yang diberi, tetapi tetap tidak mengundi BN.

Ada Bumiputera Tak Sedar Untung Nasib

Bumiputera yang menolak DEB atau berasa bersalah mendapat bantuan DEB sebenarnya tidak kenang budi dan tidak sedar diri.

Apatah lagi kalau mereka membuta tuli bercakap mengenai meritokrasi dan liberalisasi yang mereka sendiri tidak faham implikasinya.

Kalau tidak kerana sekolah asrama penuh, MRSM, biasiswa dan pinjaman pelajaran, adakah mampu bilangan profesional Bumiputera dinaikkan ke tahap sekarang?

Pada tahun 1970, ada hanya 6.8 peratus akauntan adalah Bumiputera, 4.3 peratus arkitek, 3.7 peratus doktor dan 7.3 peratus jurutera. Yang agak banyak adalah doktor haiwan (40 peratus) sebab pada waktu itu Melayu pelihara haiwan. Tetapi pada tahun lalu, 24.5 peratus akauntan adalah Bumiputera, arkitek 38.2 peratus, doktor 52.9 peratus dan jurutera 52.4 peratus.

Apakah Melayu dan Bumiputera profesional ini boleh berada di mana mereka sekarang jika bergantung nasib semata-mata kepada pembiayaan ibu bapa mereka yang mengerjakan bendang, dusun dan huma untuk mendapat pelajaran tinggi?

Sekalipun mereka sudah berdikari dan tidak perlu tongkat lagi, tetapi ingatlah banyak lagi orang Melayu, Iban, Kadazan dan Orang Asli yang miskin dan melarat.

Dan bagi setiap rumah besar yang doktor atau jurutera Melayu miliki, orang Cina miliki lebih banyak dan lebih besar.

Jangan berbangga sangat dengan aset-aset Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Hari ini semakin banyak kawasan bandar seperti Seri Kembangan, Petaling Street dan Bukit Bintang, hampir-hampir tidak ada penyertaan Bumiputera malah India pun hampir-hampir tidak ada.

Jadi, apakah yang buruk sangat dengan DEB sehingga begitu ramai orang, termasuk orang Melayu, berasa ia merugikan dan wajib dihapuskan?

Meritokrasi Bila Tembolok Terisi

Orang bukan Melayu dan sesetengah orang Melayu kini asyik bercakap mengenai keadilan sosial dan meritokrasi.

Bukankah kerana keadilan sosial dan meritokrasi di bawah DEB maka begitu ramai orang bukan Melayu mampu ke universiti-universiti ternama di dunia atas pembiayaan sendiri mengatasi bilangan Bumiputera yang dibiayai oleh Kerajaan?

Mengapakah apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada Bumiputera, ia dituduh memberi tongkat, tetapi apabila bukan Bumiputera mendapat hak yang sama, ia dikatakan hak dan meritokrasi?

Apabila Bumiputera berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi?

Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen IPP dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah?

Dan berapa kerat tahu atau masih ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan melencongkan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, tiada siapa pun mengucapkan terima kasih atau bersungut?

Hari ini, ada 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tersenarai dalam laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan IPT swasta yang disenaraikan berjumlah 450 – ya, 450.

Dengan pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, adalah tidak mustahil dalam masa yang singkat pengajian di IPT akan didominasi oleh bukan Bumiputera.

Soal pokoknya adakah situasi berat sebelah yang memihak kepada kaum-kaum minoriti ini menyokong pemulihan Umno dan pembentukan 1Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur?

Sudah lupa yang sejahtera, aman dan makmur itu adalah cogan kata manifesto BN tahun lalu?

Dan apakah sudah dikaji dan difahami implikasi sistem biasiswa dua tingkat (two-tier) kepada nisbah kemasukan dan prestasi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke IPT?

Sumbangan bukan Bumiputera Tidak Dinafikan

Tiada siapa yang menafikan bahawa bukan Bumiputera juga menyumbang kepada perkembangan dan kematangan ekonomi negara, tetapi ia berasaskan kepada prinsip keuntungan.

Mereka menyumbang kepada perkembangan ekonomi kerana suasana politik yang stabil sejak 1969 membolehkan mereka meraih keuntungan yang besar daripada apa yang mereka laburkan.

It is not altruism -- bukan sumbangan percuma yang tidak mengharapkan sebarang alasan!

Mari kita hadapi realiti. Selain Singapura yang berupa negara kecil dan majoriti penduduknya Cina, tidak ada tempat lain di dunia di mana orang Cina mempunyai kuasa politik yang begitu luas serta memonopoli ekonomi selain daripada di bumi Malaysia ini.

Tetapi, pilihan raya demi pilihan raya membuktikan bahawa yang menjadi tonggak BN adalah orang Melayu dan Bumiputera lain.

Malah majoriti calon bukan Melayu BN yang menang pilihan raya menang di kawasan majoriti Melayu.

Tetapi akibat kelemahan Umno, orang bukan Melayu bulat-bulat menolak BN pada pilihan raya 2008 manakala ramai orang Melayu memihak kepada Pas.

Perimbangan kuasa antara Umno dan Pas sudah berubah. Tidak mustahil Pas akan menjadi parti utama Melayu yang terpaksa berpakat dengan parti-parti bukan Melayu untuk memerintah.

Itulah yang akan terjadi apabila peranan Umno sebagai parti induk politik Malaysia tidak dapat dipulihkan lagi.

Dan harapan memulihkan Umno sehingga boleh diterima kembali oleh majoriti orang Melayu dan dihormati oleh bukan Melayu tidak akan berjaya jika kepemimpinannya terus dicurigai dan dipertikaikan.

Tindakan tidak menyingkirkan anasir-anasir rasuah daripada kepemimpinan Umno, malah melantik mereka semula, tidak membantu proses pemulihan Umno.

Ironinya, masyarakat perniagaan yang didominasi oleh bukan Melayu boleh hidup makmur sama ada dalam suasana bebas rasuah atau penuh rasuah!

Apabila orang Umno sendiri mendapati sukar mempertahankan parti mereka, adalah sukar bagi Umno mendapat sokongan orang lain, terutamanya sokongan bukan Melayu. Orang bukan Melayu mempunyai banyak pilihan.

Kesimpulannya, janganlah sewenang-wenangnya ditolak kebaikan DEB semata-mata untuk memancing undi atau kerana ia tidak berjaya sepenuhnya.

Itu bukan salah DEB. Itu adalah pengkhianatan oleh pelaksana yang dangkal, lemah, malas dan korup.

Terima kasih.

Friday, July 03, 2009

Buat Baik Berpada-Pada

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KITA berada dalam era yang kelabu.
Tidak ada lagi warna hijau, merah dan buru.
Sudah bercampur baur.
Pudar, kelabu dan kabur.

Kita dikatakan lepas bebas.
Era globalisasi yang terbuka luas.
Tetapi mengapa kita berasa terbatas?
Terkepung, terbendung, terpintas
Takut berhujah, bimbang berbahas.

Kita agungkan globalisasi.
Kita julang tinggi meritokrasi.
Padahal kita keliru, tidak tahu.
Apa ertinya istilah-istilah itu.

[Macamlah berkhayal dengan Akademi Fantasia
Dan wayang Hindi yang berjam-jam panjangnya.]

Maka kita berbicara tentang kesamarataan.
Tidak mahu lagi kuota dan bantuan.
Lalu kita rungkaikan satu persatu.
Tali-tali yang dulu mengikat kita jitu.

Kita manterakan Malaysian Malaysia.
Kita uar-uarkan Satu Malaysia.
Kita kagumi Masyarakat Madani
Kita berjinak-jinak dengan Islam Hadhari.

Apakah kita kini cukup berani
Yakin kepada kemampuan diri
Sudah sedia untuk berdikari
Atas landasan meritokrasi
Keterbukaan dan globalisasi
Atau sebenarnya kita lupa diri
Umpama anak kecil bermain api
Terbakar hatinya yang sepi?

Adakah mampu Melayu di Ulu Benta
Bersaing dengan Cina di Bukit Damansara?
Atau Melayu di pedalaman dan hulu?
Dengan Melayu baru di Bukit Tunku?
Atau nelayan dengan anak jutawan?
Anak buruh dengan anak orang berpengaruh?

Bukan bangsa lain tidak utama
Mereka pun rakyat Malaysia juga
Tetapi realiti yang wajib diterima
Orang Melayu dan Bumiputera
Adalah majoriti rakyat Malaysia
Pinggirkan mereka, bala jawabnya.

[Hatta saya dan adik-adik saya
Kami pun tidak serata
Kalau ikut meritokrasi
Mungkin anak saya dapat biasiswa
Anak mereka gigit jari
Kerana sekolah di kota
Segala lengkap semua ada
Guru tuisyen dan segala benda.
Tetapi apa halnya
Dengan sekolah di desa?]

Kalaupun hendak bermurah hati
Wajiblah kita berhati-hati
Jangan abaikan hak majoriti
Padahnya buruk kemudian hari.

Terima kasih kawan dan taulan
Madah pujangga jadikan teladan
Buat baik perpada-pada
Buat jahat jangan sekali
Usah digadai tanah pusaka
Nanti bangsa dihina dikeji.

Sunday, June 28, 2009

Dulu Dituduh Kafir, Sekarang Dikata Ayah Pin

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEMBAHAS OKJ, antara lain, menulis; “Boleh Dato’ tulis sikit mengenai samakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin, Komunis dan Chin Peng serta komen mufti dalam paper hari ini.”

Terima kasih kepada Sdr OKJ, para pembahas, pelawat dan pengikut tetap yang telah mendaftarkan diri sebagai “followers.” Hari ini komuniti “followers” kita berjumlah 550 orang.

Saya nak bagi sikit pandangan saja. Tak payahlah saya ulang sebut nama orang tertentu itu. Kita semua tahu siapa dia. Tak payahlah kita dewa-dewakan sangat. Kita semua manusia. Ada kekuatan dan ada kelemahan.

Kita semua sudah kenal manusia atau insan yang suka buat kenyataan yang Orang Putih kata “outrageous” itu. Dalam bahasa Melayu, “outrageous” ni lebih kurang tak masuk akal atau bukan-bukan.

Lagipun, kerja mengkafirkan Umno atau mana-mana kelompok Muslim bukanlah perkara baru. Ia berlaku dari semasa ke semasa sejak zaman berzaman lagi. Bukan di negara kita saja, malah di seluruh dunia. Bukan di kalangan orang Islam saja, malah dalam semua agama dan kepercayaan.

Orang yang mengaji di pondok, tinggal dalam kawasan pondok atau berdekatan pondok, tahulah penyakit ini. Senjata paling bisa menikam musuh sesama muslim adalah dengan menuduh seseorang itu kafir, sesat, murtad, jahil dan seumpamanya.

Malah tok-tok guru pondok dan lebai-lebailah yang paling terdedah kepada membuat tuduhan dan andaian seperti ini.

Itulah cara mereka mengawal dan mengepung pengikut mereka dan menolak orang luar yang mengancam periuk nasi mereka, termasuklah orang luar yang lebih warak dan lebih berilmu daripada mereka.

Saya membesar dalam persekitaran pondok. Allahyarham ayah saya mengaji pondok. Tetapi dia mengambil keputusan tidak jadi lebai walaupun dua kali mengerjakan haji dan sebulan sebelum dia meninggal dunia, dia khatam al-Quran empat kali, dengan membaca terjemahannya sekali.

Ramai saudara maranya tok guru pondok dan lebai yang disegani. Tetapi, macam manusia biasa juga, tok guru dan tok lebai tidak terkecuali daripada bercakap bukan-bukan.

Hanya tok guru yang paling tinggi pekerti dan akhlaknya saja yang tidak mengeluarkan petua, arahan atau pandangan yang bukan-bukan. Apatah lagi mengatakan Tuhan mencarut.

Mereka cakap dengan penuh sopan santun, lembut dan dengan nada memujuk. Tetapi ada juga tok guru pondok yang berkhutbah bukan main lagi tapi membutakan mata dan memekakkan telinga kepada perkara-perkara buruk yang berlaku dalam pondok mereka. Dalam pondok pun ada maksiat.

Bukan apa, tapi sebab tidak semua penghuni pondok dan anak buah tok guru itu orang alim atau orang baik-baik. Ada yang jadi orang suruhan dan pekerja saja.

Kalau di Kedah pada zaman dulu, tok-tok guru ada banyak bendang dan dusun. Jadi mereka inilah yang dikerah mengerjakannya.

Di tempat saya, dulu ada dua orang tok guru adik beradik yang sangat dihormati. Kedua-duanya sudah kembali ke rahmatullah, iaitu Tok Guru Haji Aziz dan Tok Guru Haji Razak.

Alhamdulillah, tradisi keilmuan dan kesederhanaan yang mereka amalkan berterusan dengan adanya sekolah yang mereka asaskan di Pendang.

Di Kedah juga, isu orang Umno dikafirkan bukan baru. Itulah inti parti kempen terhadap Umno pada tahun 1969 atas alasan Umno berpakat dengan MCA dan MIC dalam Perikatan.

Tetapi sekarang bukan Umno saja yang berpakat dengan bukan Islam. Parti Islam pun dah berpakat dengan bukan Islam. Jadi tidak timbul atau tidak kedengaran lagilah soal Umno kafir.

Maka digantikanlah dengan tuduhan-tuduhan baru seperti yang Sdr OKJ sebut itu. Politik, saudara!

Tak tahulah saya macam mana Umno boleh disamakan dengan Ayah Pin, pengganas komunis dan Chin Peng. Kalau tak silap saya, Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Umno itu pun dah lama haramkan ajaran Ayah Pin.

Tapi Jabatan Agama dan polis nampak macam “relax” saja dalam hal Ayah Pin ini. Itulah sebabnya ada orang percaya Ayah Pin pandai ilmu ghaib.

Komunis yang saya tahu, tak toleransi terhadap agama. Masa saya melawat Kesatuan Soviet sebelum keruntuhan empayar komunis itu, banyak masjid dan madrasah di wilayah Islam di Asia Tengah (Central Asia) sama ada ditutup atau ditukar menjadi pusat kebudayaan.

Tidak dengar pula Kerajaan yang diterajui Umno buat kerja yang sama. Yang saya tahu, di Kelantan penuh dengan pondok dan madrasah. Malah tak salah kalau kita kata Kelantan adalah sebuah pondok yang besar yang diperintah oleh seorang Tok Guru.

Mengenai komen Mufti Perak, saya setuju. Orang Melayu jangan taasub sangat dengan ideologi politik dan cakap orang politik. Agama, bangsa dan kelangsungan lebih penting.

Orang bukan Melayu, khasnya Cina, mereka pun berparti. Malah mereka ada lebih banyak parti. Tapi matlamat pokok mereka sama, iaitu kuasa politik dan kuasa ekonomi untuk kaum mereka. Kita pula macam kera sumbang, terhegeh-hegeh malu hendak pertahankan hak kita kerana takut dituduh perkauman.

Jadi lebih kurang macam itulah pandangan saya mengenai perbuatan menyamakan Umno dengan ajaran sesat Ayah Pin, komunis dan Chin Peng serta komen mufti mengenai perpaduan.

Terima kasih.

Wednesday, June 24, 2009

40 Tahun Terasa Macam Semalam

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

APABILA kita seronok atau asyik melakukan sesuatu, masa berlalu begitu pantas dan tanpa kita sedari.

Hanya apabila seorang wartawan muda menemu bual saya beberapa hari lalu, baru saya teringat bahawa bulan ini genaplah 40 tahun saya menjadi wartawan. Minta maaflah kalau bunyi macam masuk bakul angkat sendiri. Nostalgia!

Perjalanan ini bermula pada 16 Jun, 1969 apabila saya menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai pemberita kadet atau pada waktu itu lebih dikenali sebagai “cub reporter.”

Pejabat Bernama pada waktu itu hanyalah sebuah banglo dua tingkat di Circular Road yang kemudian ditukar menjadi Jalan Pekeliling dan kini dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak.

Antara rakan sepengambilan saya adalah Hashim Makaruddin (Tan Sri) yang kini Pengerusi Utusan Melayu Berhad, Mervin Nambiar (Pengarah Jualan dan Pemasaran AFP Asia-Pasifik, Hong Kong), Nor Amanah (berhijrah ke Australia), Tan Jooi Long (rakan sedarjah di Kolej Sutlan Abdul Hamid) dan Cecelia Surin.

Saya cukup bernasib baik kerana pada waktu itu Bernama mengamalkan dasar dwibahasa – Melayu dan Inggeris – dan kami mempunyai mentor di kalangan wartawan kanan seperti Mazlan Nordin (Tan Sri), mendiang Chang Yen Fooi, Abdul Wahab Majid (Datuk), Allahyarham Nordin Zainuddin, Alias Ali (Datuk), Musa Scully, Goldin Miranda dan ramai lagi.

Saya juga bernasib baik diberi keyakinan membuat liputan pemimpin kanan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein awal-awal kerjaya saya.

Mentor saya waktu itu adalah Ahmad Rejal Arbee (Datuk) yang kemudian menjadi Ketua Pengarang Bernama. Kami kerap keluar membuat “assignment” bersama-sama dengan menaiki kereta Austin Healey Sprite tanpa bumbung milik beliau.

Hebat bila berambut panjang menaiki kereta tanpa bumbung!

Saya juga bertuah mendapat latihan dan bimbingan daripada Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail, mendiang Tan Sri Lee Siew Yee, Allahyarham Tan Sri Nordin Sophie dan mendiang Felix Abisheganadan apabila saya menyertai Kumpulan New Straits Times pada tahun 1976.

Apa yang boleh saya katakan adalah dunia kewartawanan yang saya ceburi 40 tahun lalu itu amat berlainan dengan dunia kewartawanan sekarang yang serba canggih tetapi terlalu sensasi dan penuh cerita skandal.

Masa berlalu, zaman berubah.